Ku bukanlah seorang tegar yang menggunakan perkhidmatan LRT untuk ke tempat kerja setiap hari. Hanya pada beberapa keadaaan sahaja yang akan membuatkan ku terpaksa menggunakannya. Ku lebih memilih menaiki motorsikal yang mengambil kurang masa perjalanan dari menggunakan LRT. Walaupun begitu, setiap kali menaiki LRT, pasti akan ada pengalaman baru yang akan ku timba tidak kira ia pengalaman baik mahupun yang sedikit hambar.
Apabila ramai penumpang berhimpit dalam satu koc, ia bermakna pelbagai perangai mahupun sifat yang dapat kita lihat. Yang bercakap kuat, yang suka berhimpit, yang bermain-main mata, yang bermain Candy Crush Saga, yang macam-macam, boleh kata semua boleh dilihat. Sebelum itu, ku ingin katakan, tulisan ini bukanlah bertujuan mahupun bersifat racist. Ia hanya tulisan yang ku buat berdasarkan dari apa yang ku lihat demi menjadi peringatan antara kita agar kita.
Koc Putra LRT yang membawa penumpang menuju ke Kelana Jaya kebiasaannya agak lengang walaupun ku menaikinya dari Stesen Masjid Jamek, stesen yang ku kelaskan sebagai paling sibuk dalam Kuala Lumpur. Oleh kerana keadaan dalam koc lengang, apa sahaja penumpang lain lakukan tidak kira yang sedang berdiri mahupun duduk dapat dilihat.
Ketika di satu bahagian dalam koc tadi, dimana berdekatan bahagian ku berdiri, terdapat 8 penumpang yang sedang duduk dikerusi yang disusun secara bertentangan. Dari raut wajah, 3 daripada 8 penumpang tadi adalah berusia lewat 40an manakala 5 lagi berkemungkinan adalah berusia muda dan mungkin ada yang lebih muda dari ku. Salah seorang yang duduk dibahagian kerusi tadi adalah seorang gadis muda yang berbangsa Cina yang ku labelkan sebagai gadis A dan 7 lagi adalah berbangsa Melayu.
Ketika LRT berhenti di satu stesen, masuk satu pasangan bangsa cina yang lanjut usia dimana yang lelakinya adalah seorang warga emas yang kurang upaya (buta). Yang perempuan (barangkali atau yakin isterinya) memimpin suaminya yang buta masuk kedalam koc dan terus menghala ke tiang tengah koc untuk berpaut demi melawan sesaran yang bakal terhasil bila LRT mula bergerak.
Atas dasar perikemanusiaan, gadis A terus bangun dan memberikan tempat duduknya kepada pasangan tadi. Agak membanggakan, gadis A telah menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan penuh ikhlas dan kelihatan suami buta tadi agak terhuyung-hayang menuju ke kerusi takkala LRT mula bergerak.
Apa yang agak memilukan hati ku bilamana, 3 lagi penumpang muda yang duduk sebaris tempat duduk tempat gadis A serahkan pada warga emas tadi hanya melihat tanpa mengambil apa apa tindakan.
Hairan, mereka seperti tidak memperdulikan keadaan seorang lagi warga emas perempuan yang terpaksa berdiri terhoyong-hayang walaupun pada ketika itu, warga emas tersebut berdiri betul-betul dihadapan tempat mereka duduk.
Persoalan yang berlegar difikiran ku ketika itu;
1. Adakah dengan seorang memberi tempat duduk kepada warga emas kurang upaya mereka rasa sudah cukup walau pengiringnya juga adalah seorang warga emas yang kelihatan sihat??
2. Adakah kerana 2 orang warga emas tadi adalah berbangsa cina dan mereka tidak dipedulikan oleh penumpang lain kerana meraka berlainan bangsa??
3. Apa yang berlaku kepada warga emas perempuan berdiri terhoyong-hayang tadi jika LRT terpaksa berhenti mengejut??
Dan ketika itu, sebagai seorang melayu, ku malu dengan situasi tersebut.
LRT menghampiri stesen tujuan ku. Gadis A tadi sempat memberikan senyuman manis kepada ku sebelum ku turun, barangkali dia perasan tindakannya tadi diperhatikan.
Jika mahu orang lain menghormati kita, kita perlu tunjukkan sikap hormat kepada orang lain terlebih dahulu.
Sekian