Pages

Monday, May 6

Keputusan Muktamad Dan Harap Diterima Dengan Tenang


Keputusan pilihanraya umum ke-13 sudah muktamad, keputusan sudah diketahui dan kita semua boleh sambung kerja yang tertangguh sebelum pilihanraya.

Pastinya akan ada raut wajah kepuasan dan raut wajah kekecewaan terpahat pada wajah individu yang benar-benar mengikuti perkembangan pilihanraya. Pagi ini, dikala ku menulis posting ini, pasti ramai, tidak kira dipejabat, bersarapan dikedai-kedai mamak atau diruangan siber, berbicara tentang keputusan mahupun kontroversi yang berlaku pada hari mengundi yang berlangsung semalam, May 05, 2013. Ku berani bertaruh sepinggan nasi ayam, pasti tiada langsung yang akan bercerita tentang kemenangan Chelsea terhadap Manchester United dalam kejuaraan liga Inggeris yang mana keputusan kemenangan itu bakal membuatkan 'Interim Manager' Chelsea berasa lebih lagak dari sebelumnya pagi ini.

Membaca 'News Feed' akaun Facebook ku malam semalam dan sedikit untuk pagi ini, hampir 80% posting yang dibuat rakan-rakan adalah berkaitan dengan pilihanraya. Terlalu banyak maklumat yang boleh diperolehi disitu. Ada yang sempat bergambar ala-ala 'gathering' dengan rakan lama, ada rakan ku yang menghantar gambar jari telunjuk yang berwarna seakan lebam tersepit pintu bilik air dan ada yang lebih banyak berkongsi maklumat-maklumat benar serta barangkali palsu untuk dibaca oleh rakan-rakan mereka. Semua itu hak mereka dalam menggunakan media sosial yang tiada batasan.

Paling tidak masuk akal bilamana ku membaca tentang 'Sup Telinga' pilihanraya. Ramai yang mahukan ia menjadi kenyataan walaupun ku pasti ia tidak akan dizahirkan. Pada firasat fikiran ku, hairan, ada juga pemimpin kita yang akalnya pendek, sependek akal budak-budak sekolah. Jika tidak cerdik pun, janganlah membuat cabaran yang akhirnya menyerlahkan ketidak cerdikkan dan seterusnya memakan diri sendiri. Barangkali, itu mungkin menjadi penyebab beliau kalah bertanding kali ini.

Terdapat juga kenyataan yang mengatakan pihak Suruhanjaya Pilihanraya tidak berlaku adil. Ramai yang mengatakan terdapat karung peti tambahan dihantar lewat, Blackout dan juga kiraan semula yang tidak adil. Ku perlu ulas tentang ini kerana terlalu banyak versi tuduhan dan jalan cerita sehingga tuduhan yang tersebut kelihatan seperti direka-reka. Seperti yang ku telah katakan, ku akan berikan kepercayaan kepada pihak berwajib untuk menjalankan tanggungjawab mereka. Ku juga percaya, mereka melakukannya dengan adil dan saksama.

Terima kasih kepada petugas pilihanraya yang bertungkus-lumus bekerja dari awal pagi hingga lewat malam demi kelancaran proses hari pengundian.

Perkara yang paling melucukan adalah bilamana ada berita mengatakan sekumpulan warga Bangladesh ditahan dan dihalau konon ceritanya mereka ini adalah sebahagian dari pengundi berdaftar. Tiada siapa yang dapat membuktikan kenyataan tersebut sehingga kini. Mohon jika ada, bagitau ku. Mereka kata ada video, tapi ku tidak boleh menontonnya ketika ini. Jika ia benar berlaku, ia adalah sesuatu yang sangat patut ditegah. Tetapi bagaimana jika sekumpulan warga Bangladesh itu hanya berniat untuk keluar bersiar-siar hujung minggu? Kita sedia maklum, mereka memang menjadikan KLCC sebagai 'Port' sosial hujung minggu mereka. Dan mungkin ada logiknya jika mereka beramai-ramai berjalan menuju ke arah pusat mengundi kerana disana, didepan sekolah, adalah tempat hentian mereka menunggu bas.

Apa pun mulai hari ini, keputusan kiraan sudah selesai. Jika ada rasa tidak kepuasan hati, itu adalah normal. Mana mana pertandingan pun pasti berlaku begitu. Jika punya bukti untuk dijadikan kes, harap bangkitkan sekarang. Tidak perlu panjangkan cerita sampai pembaca nanti meluat.

Diharapkan juga, calon yang tidak berjaya tidak putus asa, kerja kuat lagi, buktikan yang anda berwibawa dan layak untuk menang bertanding pada pilihanraya yang akan datang dan pada calon yang telah menang, anda memegang tanggungjawab besar kepada rakyat. Jalankan tanggungjawab anda dengan bersih, saksama dan ikhlas.

Sekian.