Pages

Tuesday, September 18

Temuduga Mencetus Ketegangan


Sukar juga nak mencari pengganti kata "Stress" untuk di Melayukan yang akhirnya ku rasakan perkataan yang paling dekat dan sesuai untuk kata ganti nama stress itu adalah ketegangan. Ia kedengaran agak kelucahan tapi itulah hakikat yang perlu ditelan. Hakikat bahawa ketegangan adalah perkataan yang paling sesuai untuk kugunakan.

Ketegangan yang terhasil dari rasa sebelum temmuduga adalah sesuatu yang mampu membuat seseorang merasa tidak tentu hala serta tidak keruan. Rasa kesakitan pada perut, rasa kesakitan dalam dada [sebut ala-ala melodi lagu Tengku Adil] dan rasa sejuk yang membawa kepada rasa ingin terkucil adalah rasa-rasa yang kerapkali timbul bagi kebanyakan calon-calon yang hadir untuk menjalani temuduga.

Temuduga juga tidak semestinya tertumpu pada jenis temuduga untuk pekerjaaan sahaja, malah temuduga punya banyak jenis. Ia termasuklah temuduga untuk mendapatkan tender, temuduga untuk permohonan biasiswa pelajaran dan juga temuduga penempatan belajar. Ada satu temuduga tidak rasmi kita kelaskan yang boleh membuatkan calonnya tidak tidur malam. Ianya adalah temuduga bersama bakal keluarga mentua dan ia adalah temuduga paling mendebar dan menegangkan pada calon menantu, serius, ini memang benar.

Sepanjang sembilan tahun selepas hari terakhir ku menamatkan pengajian tahap Sarjana Muda, sudah banyak juga pengalaman menghadiri temuduga yang telah ku lalui. Tidak kira ianya untuk jawatan paling rendah dalam syarikat hingga ke jawatan seorang pengurus, ku telah tempuhi tetapi kebanyakkannya tidak menyebelahi ku malah, pengalaman cubaan ku untuk memikat hati penemuduga yang bergelar Dato' dan Datin agar memilih ku untuk mengisi jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik juga tidak gagal. Mungkin ku lupa untuk mengenyit mata ketika didalam bilik sesi temuduga.

Tetapi, itu bukan kisahnya kerana apa yang ingin ku angkat dalam tulisan kali ini adalah ketegangan sebelum temuduga. Walaupun telah banyak jenis temuduga yang telah ku hadiri, perasaan ketegangan sebelum temuduga masih tidak dapat disisihkan. Banyak nasihat yang ku peroleh dari pakar psychology tentang pentingnya ketenangan sebelum memasuki bilik temuduga, tetapi memikirkan apa yang penemuduga jangkakan dari ku mampu buat ketenangan menjadi ketegangan. Ku seorang lelaki, jadi jangan anda salah tafsirkan perkataan yang ku tulis disini, bukan ketegangan kelakian yang dimaksudkan tetapi ketegangan fikiran yang sebenarnya.

Kadangkala, kita merasakan untuk keluar dari zon selesa yang kita ada sekarang adalah sesuatu yang amat sukar, dan sememangnya, melakukan perubahan pastinya agak sukar. Dari rumah sudah merasakan seperti malas untuk tempat temuduga, badan rasa seperti mahu demam, tandas dilawat beberapa kali tetapi itulah yang perlu dilalui demi perubahan masa hadapan. Setiap perubahan memerlukan pengorbanan dan setiap pengorbanan pasti ada ganjaranya.

Hari ini ku baru menamatkan satu lagi sesi temuduga jawatan yang keputusannya "terima kasih sahaja yea.."  Ia adalah sesi temuduga yang ku sudah hilang kira bilangannya. Walaupun gaji yang ditawar menghampiri kenaikan separuh gaji yang ku peroleh sekarang, atas beberapa faktor yang tidak menepati jangkakan, ku terpaksa tidak menerima jawatan itu. Fuyoh!! Ini pertama kali ku tolak jawatan yang ditawarkan.. Hebat.. Hebat..!! Apa yang pasti, ketegangan yang ku rasai sebelum temuduga mengecut selepas sesi temuduga tamat.

Lega.. Jom TT, ku sudah tiada ketegangan lagi..!!